Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Jadikan Istighfar sebagai amalan

0 Teguran

Suatu hari Hassan Al Bashri, salah seorang tabiin didatangi oleh seorang lelaki yang mengadu mengenai keadaan daerahnya yang kering kontang kerana sudah lama tidak hujan.

Maka Hassan berkata, ``Mohonlah ampun kepada Allah.''

Kemudian datang pula seorang lagi sahabatnya yang mengadu bahawa dirinya ditimpa kemiskinan.

Sekali lagi, Hassan menjawab, ``Mohonlah ampun kepada Allah.''

Tidak lama kemudian datang pula seseorang meminta didoakan agar dikurniakan anak dan jawapan Hassan ialah ``beristighfarlah kepada Allah.''

Kemudian datang lagi orang yang lain mengadukan tentang kebunnya yang tandus, Hassan juga memintanya supaya beristighfar.

Jawapan Hassan itu menimbulkan rasa tidak puas hati para sahabatnya, lalu mereka bertanya kepada Hassan mengapa semua masalah itu hanya dapat diselesaikan melalui istighfar.

Hassan berkata, ``Saya tidak mengatakan semua itu secara suka-suka. Tetapi, berdasarkan firman Allah dalam surat Nuh ayat 10-12 yang bermaksud:

``Maka aku katakan kepada mereka,'' Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. ''

Apa yang dinyatakan oleh Hassan itu seolah-olah tidak berlaku pada zaman sekarang yang lebih banyak melihat sesuatu yang berlaku itu secara akal fikiran atau rasional semata-mata.

Setiap sesuatu yang terjadi kepada kita, tidak pernah dianggap sebagai akibat daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Lanjutan itu, dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah kita hakikatnya hanya mencipta masalah baru.

Sedangkan Allah telah berfirman dalam Surah As-Syura ayat 30 yang bermaksud: ``Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan mu).''

Peringatan Allah ini sebenarnya tidak pernah dipedulikan oleh sebahagian daripada kita, sebaliknya kita lebih banyak menggunakan kekuatan fikiran untuk menyelesaikan masalah.

Istighfar hakikatnya adalah jalan terbaik untuk memberi kita petunjuk dalam menyelesaikan apa juga masalah yang kita hadapi.

Ia akan menimbulkan keinsafan dan ia akan mendorong kita menghentikan perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan dosa.

Sama ada kita hendak mengakui atau tidak, kita sering melupakan azimat Allah ini sehingga setiap kali kita menghadapi apa juga masalah kita terlupa untuk beristighfar kepada-Nya.

Justeru marilah kita menjadikan istighfar sebagai amalan tetap kita seharian, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Sumber: Tazkirah

Tazkirah

0 Teguran

Jangan dipandang Air Mata Yang Mengalir Tapi Pandanglah Tangan Yang Melakukan

Oleh :Abd.Basit Abd.Rahman

Bukanlah satu perkara yang ajaib kalau kita dapati ada golongan yang cuba menyekat perlaksanaan Islam dari segenap aspek kehidupan dan cuba untuk memburukkannya dengan berbagai cara, tapi yang ajaibnya ada dikalangan orang muslim yang mempercayai dakwaan mereka kerana perbuatan itu menyalahi apa yang mereka ucapkan dalam pengakuan syahadah, wala’ atau kesetiaan yang mereka berikan kepada musuh Islam menyingkap kesesatan dan tipudaya yang mereka lalui, ramai pemimpin umat Islam berucap mengatakan kebaikan dan keelokan Islam, menangis dan berdukacita terhadap bala bencana yang menimpa umat Islam, mereka mendakwa telah melaksanakan syariat dan nilai-nilai Islam, tapi dalam masa yang sama penjara mereka dipenuhi oleh para pendakwah Islam, darah orang yang baik mengalir dengan murah dan ramai yang terpaksa berpisah dengan keluarga dan kampung halaman. Kita dapati juga mereka yang berucap: telah muncul di kalangan orang Islam mereka yang akan mengembalikan kegemilangan Islam.

Nabi Yaacob a.s tidak menerima air mata anak-anaknya sebagai bukti untuk membenarkan dakwaan mereka kerana kehilangan Yusuf a.s, ketika mereka datang waktu malam dalam keadaan menangis, Yusuf dimakan oleh serigala, bahkan Baginda juga tidak menerima darah dibaju Yusuf yang mereka bawa sebagai bukti.

Berapa ramai pula kalangan yang menangis kerana menuntut bela diatas kewafatan Saidina Uthman yang dibunuh, tapi setengah dari merekalah yang menimbulkan fitnah yang membawa kepada syahidnya Khalifah Ar rashid itu.

Salah seorang yang duduk bersama hakim dalam mahkamah merasa sedih ketika melihat seorang pengadu datang dalam keadaan menangis dan orang itu memberitahu hakim bahawa beliau berpendapat si pengadu telah dizalimi, maka hakim yang bijak telah memberi jawapan kepadanya: saudara-saudara Yusuf datang menemui bapa mereka dalam keadaan menangis.

Oleh itu sebelum kita memberi kepercayaan kepada seeorang, hendaklah kita halusi, selidiki dan kaji betul-betul, benarkah dia seorang yang benar-benar memperjuangkan islam sebelum kita meletakkannya ditempat pejuang atau mujahid islam. Pernah dulu orang memberi gelaran kepada Attartuk sebagai Khalid, “Wahai Khalid Turki baharukan perjuangan Khalid Arab”, mereka menyamakannya dengan Khalid kerana menyangka beliau akan mengembalikan keagongan dan ketinggian islam. Tetapi tak lama kemudian pecahlah tembelangnya, beliau seorang taghut dari usrah Yahudi yang ditonjolkan untuk menjatuhkan Khilafah Islamiyah dan menghancurkan Islam. Diawal perlantikannya tidak lepas kayu sugi dimulutnya dan bekas wuduk di tangannya.

Mengetahui hakikat sesuatu adalah penting sebelum membuat apa-apa keputusan, untuk mengelakkan daripada tersalah dan tersesat.

Kita telah membaca cerita pemburu yang menembak burung dimusim sejuk, seekor demi seekor ditangkap dan disembelihnya kemudian dimasukkan kedalam bekas yang dibawanya. Sedang air matanya mengalir kerana kesejukan dan ditiup oleh angin, seekor burung yang sedang sakit memberitahu kawannya, “Tengoklah lelaki ini seorang yang baik dan lembut hatinya hingga mengalir air matanya kerana kasihan kan kita”. Jawab kawannya” jangan kau lihat air matanya tapi lihatlah apa yang dilakukan oleh tangannya”. Wallahu alam.

Dipetik dari buku (Mawaqif zatu ibar) Dr. Sulaiman al Ashqar.

 
© Hak Cipta Terpelihara 2011 [:: AlmansuQie ::]
Template : AlmansuQie~GreenBlue
Designed By : AlmansuQie™

Paparan Lebih Kemas Dengan Firefox