Showing posts with label Agama Dan Sains. Show all posts
Showing posts with label Agama Dan Sains. Show all posts

Rahsia Kayu Sugi & Bersiwak

0 Teguran

Oleh: Hannan

Bersiwak atau lebih dikenali dengan bersugi kini jarang-jarang sekali dilakukan oleh kita sebagai seorang Islam. Ia merupakan amalan Rasulullah SAW yang sering dilakukannya sebelum menyempurnakan setiap pengambilan wuduk bagi menunaikan solat. Pernahkah kita terfikir apakah kelebihan bersiwak? Kenapa Rasullullah SAW begitu mementingkan amalan siwak, serta menggalakkan umatnya sentiasa mengamalkannya sehingga pernah bersabda di dalam beberapa hadisnya:

Dari riwayat Abu Hurairah ra daripada Rasulullah SAW (1) :

(لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل الصلاة)


Daripada Aisyah ra bahawasanya Rasullullah SAW bersabda (2)

(السواك مطهرة للفم مرضاة للرب)


Malah kini telah wujud berbagai penemuan ilmiah dari sudut sains berkaitan dengan kayu siwak serta hikmahnya kepada kesihatan mulut dan gigi. Daripada beberapa kajian yang telah dikaji dan direkodkan kajiannya oleh Profesor Doktor Abdullah Abdul Ar-Razak Mas’ud As-Sa’id di dalam bukunya yang bertajuk “Siwak, Perhatian Berat Dalam Pengamalannya Untuk Kesihatan Gigi” antaranya adalah:

1) Kayu siwak terdiri daripada beberapa ciri yang boleh kita dapati daripada “gall tree”(3) yang dipercayai sebahagian daripada bahagian tumbuhan atau pokok yang secara saintifiknya mempunyai bahan anti-kulat juga sebagai bahan lawas untuk penghadaman. Malah kini terkenal di dalam penggunaan anti pengaliran darah (pembekuan darah). Namun Doktor Abdullah Abdul Razak menegaskan bahawa kayu siwak adalah bersih serta ciri-ciri yang terkandung di dalamnya boleh membersihkan gusi serta gigi manusia serta merawat luka kecil yang terdapat pada gigi kita serta menghalang pengaliran darah daripadanya.

2) Bahan yang terdapat di dalam siwak mempunyai perkaitan dengan sejenis minyak yang dinamakan “Sinigrin”(4) (minyak biji sawi @ mustard). “Sinigrin” ini juga digunakan di dalam pembuatan sejenis agar-agar yang digabungkan dengan gula yang boleh kita dapati daripada buah anggur. Namun dengan penggunaan sejenis enzim “Myrosinaze enzymes” dapat memisahkan agar-agar itu kepada dua komponen semula, iaitu minyak “Sinigrin” dan gula anggur. Hasil minyak ini baunya cukup kuat malah rasanya pahit dan hangat, seperti apa yang dirasai oleh sesiapa yang baru pertama kali menggunakan kayu siwak. Kajian turut membuktikan bahawa bahan ini boleh membantu dalam membunuh beberapa jenis kuman.

Begitu juga kajian oleh seorang ketua bagi Institut Kajian Kuman dan Wabak di salah sebuah universiti di Jerman (Rostod University) bahawa kesan daripada bahan yang terdapat di dalam kayu siwak sama seperti kesan “Penisillin” (sejenis anti-biotik) yang membantu malah boleh membunuh pertumbuhan kuman dan diantara salah satu contoh kumannya adalah “Staphylococcus”.

Perkara ini juga yang dipersetujui oleh salah seorang hakim syari’e di Universiti Karachi Pakistan, Profesor Abdul Hamid yang mengatakan bersiwak boleh membunuh sebanyak lima jenis kuman yang terdapat pada mulut kita. Malah disokong kenyataannya oleh teman seperjuangannya Profesor Mohamad Walid Hamud yang mengatakan kayu siwak yang biasanya digunakan untuk bersugi adalah daripada sejenis kayu “Ud Al-Arak(5) di antara tumbuhan perubatan yang mengandungi bahan perekat gam (adhesive), bahan penyuci, bahan pengawet (masam), bahan pewangi, bahan hablur silika, dan bahan yang mengandungi garam mineral.

Kajian yang lain mengatakan tumbuhan perubatan ini “Ud Al-Arak” adalah sejenis tumbuhan yang strukturnya terdiri daripada bahan fiber yang mengandungi sodium karbonat, dan ia merupakan bahan kimia yang banyak kelebihannya di dalam penghasilan ubat gigi malah kini setelah kajian lebih meluas daripada kayu siwak dilakukan, terdapat penghasilan sejenis bahan kimia pada strukutur kayunya dikenali dengan nama saintifiknya sebagai “Tannic Acid” yang boleh menghalang jangkitan kepada gusi dan menghalang pembentukan karies gigi.

Kesimpulannya, berikut merupakan beberapa fakta tentang struktur kimia yang telah dinyatakan oleh seorang pakar farmasi (penyediaan ubat) yang dikenali sebagai Sallahuddin Hanafi setelah beberapa eksperimen dijalankan ke atas ubat gigi yang dihasilkan daripada kayu siwak:.

1) Ia mengandungi beberapa sumber garam mineral, sodium klorida (sodium chloride), kalsium, sodium, fosfat (phosphate), zat besi, silica, dan lain-lain lagi. Ternyata sebahagian daripanya mempunyai faedah yang tersendiri pada gigi serta gusi manusia. Di antaranya, bahan klorin yang terdapat di dalam sodium klorida membantu mengekalkan keputihan kepada gigi kita.

2) Ia juga mengandungi minyak yang berbau harum (essences oil), merupakan sejenis minyak yang mempunyai haruman yang menyegarkan yang hampir sama dengan haruman ubat gigi yang berada di pasaran pada hari ini. Kajian mengatakan bahawa minyak ini warnanya perang kemerah-marahan. Boleh dikatakan salah satu daripada faedah bersiwak adalah mengelakkan bau yang tidak menyenangkan hasil tinggalan sisa-sisa makanan di antara celah gigi kita.

Begitulah di antara beberapa faedah daripada kayu siwak, dan beberapa maklumat dari sudut saintifiknya. Malah tidak dinafikan, semakin banyak kajian serta eksperimen telah dilakukan di beberapa buah negara samada di Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan beberapa buah negara lain tentang kelebihan daripada amalan bersiwak. Sehingga kini telah muncul pelbagai produk moden bagi ubat gigi, atau bahan pencuci mulut yang bahan-bahannya adalah daripada pencampuran kayu siwak ini.

Namun begitu, kita sebagai pewaris umat Rasullullah SAW, nabi junjungan yang telah dipilih oleh Allah SWT sepatutnya berasa bersyukur kerana umat Islam adalah populasi yang aslinya telah didedahkan dengan amalan bersiwak ini.

Sesungguhnya, agama Islam merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama dengan “role model” yang begitu sempurna iaitu Rasullullah SAW kepada kita. Tidak dinafikan, segala yang datangnya dari kata-kata serta perbuatan Saiyidina Muhammad SAW adalah datangnya daripada Pencipta agung bagi seluruh makhluk di muka bumi ini, ALLAH SWT. Bukankah agama Islam merupakan agama yang cukup ideal dan sempurna, merangkumi dari segala aspek kebaikan di dunia dan ganjaran bagi yang bertakwa di akhirat kelak...SUBHANALLAH!

(1) Al-Bukhari 1/ 283 nombor hadis (13458) dan dari Muslim 1/220 hadis 42 / 252.
(2) An-Nasaie 1/10, Ibnu Khuzaimah 1/70 nombor hadis 135.
(3) Sejenis pokok oak.
(4) Bahan kimia terhasil daripada pertumbuhan fungus atau kulat seperti bintik hijau untuk membunuh kuman yang menyebabkan penyakit.
(5) Sejenis tumbuhan daunnya boleh dimakan binatang ternakan dan batangnya dibuat untuk bersugi.


Sumber: Permaya

Tidur Mengikut Sunnah Dan Penemuan Sains

0 Teguran

Oleh Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda: "Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri." Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang.

Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti. Banyak kes-kes kemalangan dilapurkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)

Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun.

(Dr. Stanley Coren; Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing') Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function) Tidur Dan Kerihatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah. Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim) Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.

Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri. Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa. Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya. " Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti. " (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity, ' from eFuse)

Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation, ' Family.com) Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Cara Tidur Nabi Dan Kajian Semasa.


Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur setiap malam? Nabi tidak menyebutkan kadar masanya secara khusus. Baginda sekadar menyebutkan: "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas." (Bukhari-Muslim) dan di dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda: "Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk." (Bukhari-Muslim) Ini menunjukkan bahawa kadar masanya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Yang penting ialah tidur yang menghilangkan rasa mengantuk dan menghasilkan kecergasan. Pakar-pakar tidur telah bersetuju bahawa keperluan tidur tidak sama bagi setiap orang. Tidur yang optima ialah kadar yang tidak mendatangkan rasa mengantuk ketika sedang memberikan tumpuan kepada sesuatu. Bagi sesetengah orang, kadar optimanya ialah 5-6 jam setiap malam. Namun biasanya bagi yang dewasa ialah 7-8 jam. (Michelle Moore: 'Catching Those ZZZZ's') Beberapa hadis Nabi telah meriwayatkan tentang cara tidur yang baik dan keji yang perlu diambilkira oleh seseorang: "Nabi telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas Bagindapun bersabda: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." (Tarmuzi) "Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wuduk seperti wuduk untuk bersembahyang. Kemudian baringlah di sebelah kanan." (Bukhari-Muslim) Berkata 'Abbad ibn Tamim: "Aku melihat Rasulullah di dalam masjid tidur menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda." (Bukhari-Muslim)

Ibn Qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.(At-Thib An-Nabawi oleh Ibn Qaiyim hal. 297) Dapat disimpulkan bahawa Nabi suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala secara menelentang. Baginda tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah Baginda lupakan. Sekali lagi sains terpaksa akur tentang kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi ini. Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan ketika tidur:

1. Mengiring ke lembung dengan meluruskan tulang belakang atau

2. Menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher.

(Intermountain Spine Institute (1999); 'Spine Self Care') Kedua-dua cara ini akan mencegah tulang leher daripada terseliuh (subluxation or mis-alignment of the neck). Di samping itu, dengan berlapikkan bantal yang sesuai ketika tidur, sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column) akan dapat dicegah. Meniarap merupakan cara tidur yang boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher seseorang. Tidur begini boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot. (Spine Self Care; Ibid) Kesimpulannya. Ajaran Nabi tentang tidur, samada yang berkaitan dengan kepentingannya, tidur tengaharinya, cara berbaring dan lain-lainnya, adalah begitu saintifik sekali. Kajian kontemporari telah membuktikan tentang semua ini. Ini menunjukan bahawa ajaran Nabi adalah suatu ajaran yang seimbang yang boleh membawa manusia kepada keunggulan.

Sumber:Tidur Mengikut Sunnah Dan Penemuan Sains

Solat dari kajian sains

0 Teguran

Terapi solat
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Sumber: Berita Harian

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

0 Teguran

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok
bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

(Gambar)Dr Fatimah meneliti kertas bacaan
ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.


Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan
tenang,” katanya.

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh


Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Sumber: berita harian

 
© Hak Cipta Terpelihara 2011 [:: AlmansuQie ::]
Template : AlmansuQie~GreenBlue
Designed By : AlmansuQie™

Paparan Lebih Kemas Dengan Firefox