Khutbah Aidilfitri Oleh Dato' Dr. Haron Din

Bashir Ishak

Tue | Oct 07, 08 | 2:50:58 pm MYT

Hikmah daripada berpuasa di bulan Ramadan dengan menahan lapar dan dahaga adalah untuk menimbulkan rasa keinsafan bagi melahirkan insan yang prihatin membantu saudara seagama seperti tidak menjadi di kalangan umat Islam kini, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Sehingga kini katanya, umat Islam terus dilanda pelbagai masalah, ditindas dan dijajah tanpa mendapat pembelaan dan bantuan daripada umat Islam yang lain.

Menurutnya, krisis yang menimpa umat Islam sejagat sekarang adalah berpunca daripada perpecahan yang berlaku di kalangan ummah itu sendiri.

"Alhamdulillah kita dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dengan hidangan juadah yang enak. Tapi jangan lupa ada umat Islam yang menyambut hari raya dengan hidangan peluru, bom, belantan, keganasan dan pembunuhan,darah merah mengalir pada hari raya," katanya menyampaikan khutbah Aidilfitri di Balai Islam MADI dekat sini baru-baru ini.

Katanya lagi, umat Islam rata-rata dilabelkan oleh musuh mereka sebagai pengganas atau teroris yang mesti diperangi.

Image"Mereka (kuffar) tidak menyiksa mereka itu (orang Islam) melainkan kerana mereka beriman dengan Allah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji," ujarnya memetik ayat 8 dari Surah Al-Buruj.

Tambahnya, Ramadan yang juga dikenali dengan nama bulan kesabaran, bulan pengorbanan, bulan jihad, bulan pengampunan dan bulan kemenangan, namun dari Ramadan tahun lalu sehingga yang baru berlalu, banyak peristiwa yang berlaku atas umat Islam yang dapat dilihat.

"Umumnya ternyata Islam masih tertindas di sana-sini, dihukum dengan kejam yang semuanya ini menuntut kita untuk bersabar, tapi sampai bila perlu kita bersabar?

"Masalah besar yang menimpa umat Islam sekarang ialah Masjidil Aqsa, penjajahan yahudi ke atas Palestin yang merampas bumi umat Islam. Amat malangnya pada masa yang sama berlaku perperangan dan pembunuhan sesama umat Islam disana antara Hamas dan Fatah yang kedua-duanya parti umat Islam. Lebih malang lagi, orang Arab, umat islam dan kita semua tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka.

"Puasa semacam tidak mendatangkan kesan positif kepada ummah, puasa sudah menjadi satu ritual atau perkara biasa tanpa makna sebenar yang boleh menjadi pendorong untuk memperbaiki diri dan ummah ke arah satu penyatuan yang lebih baik," katanya.

Baginya, permasalahan umat Islam terus menjadi lebih parah seperti yang terbaru berlaku perang saudara di Darfur (Sudan), masalah politik tempatan di Mauritania, Somalia, Georgia dan Selatan Thailand.

"Krisis berterusan, perang tak henti-henti di Iraq, Afghanistan, Kosovo, Pakistan dan belum nampak tanda-tanda kesudahan.Apabila senario politik terjadi sebegini kita akan menuduh angkara musuh yang tidak berperikemanusiaan didalangi Amerika dan sekutunya. Akan tetapi adalah lebih elok rasanya kita melihat ke dalam diri kita sendiri, diri ummah yang dikatakan "kaum yang lebih tinggi (lebih cangih) kalaupun beriman"

"Apa sebabnya kita mudah diperkotak-katikkan oleh musuh? Jawapannya mudah, sebab kita berpecah-belah dan tidak bersatu," tegasnya.

Katanya lagi, punca umat Islam berpecah adalah kerana mereka tidak berpegang kepada hukum Allah, jauh dari Al-Quran dan meninggalkan Sunnah Rasul s.a.w

"Allah berfirman dalam Sura Al-Anfal ayat 46, Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan jangan sekali-kali kamu bersengketa (berperang sesama sendiri) kelak kamu akan kecundang, diserang takut dan kakuatanmu. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.

"Yang nyata kita fahami umat Islam tidak bersatu. Mereka hidup dalam nafsi-nafsi, negeri-negeri sendiri. Kalau musuh menangkap mangsa atau negeri dijajah serta diseksa, yang lain hanya menjadi penonton," ujarnya lagi.

Menurut beliau, untuk melihat perpecahan umat Islam kita tidak perlu tengok jauh ke Timur Tengah atau Afrika sebaliknya melihat di negara kita sendiri.

"Orang Islam di Malaysia inipun tidak bersatu. Kita sebenarnyapun sudah berpecah sekurang-kurangnya selama 57 tahun apabila wujudnya dua buah parti politik besar Melayu

"Mungkin kerana perpecahan ini suatu yang tidak baik dan kerajaan yang tidak kukuh, jelas musuh-musuh Islam sudah mulai lantang meyuarakan perkara-perkara seperti laungan azan, kebebasan beragama sebagai contohnya murtad yang diminta diberi kebebasan atas nama hak-hak kemanusiaan dan berlakunya ketengangan antara kaum khasnya atas hal-hal yang berkaitan agama.

"Kita sekan-akan menunggu berlakunya sesuatu yang lebih kompleks, masalah yang lebih gawat yang akan menjerumuskan kepada ketengangan yang membawa kepada berlakunya huru-hara," jelasnya lagi.

Justeru beliau menyeru sidang hadirin untuk sama-sama komited dalam perjuangan Islam.

"Tegakkan negara Islam itu di dalam diri kamu terdahulu, Insya Allah akan tertegaklah negara Islam di dalam negeri kamu. Sebab itulah kita sentiasa perlu mematuhi segala perintah Allah dan hukum-hukum Allah mestilah diletakkan di hadapan," serunya. - mr_

Artikel Dari:HarakahDaily

Artikel Berkaitan



0 Teguran:

Post a Comment

 
© Hak Cipta Terpelihara 2011 [:: AlmansuQie ::]
Template : AlmansuQie~GreenBlue
Designed By : AlmansuQie™

Paparan Lebih Kemas Dengan Firefox