HADIS 30 (Hudud & Larangan Allah)


عن أبي ثعلبة الخشني جرثوم بن ناشر عن رسول الله قال: (( إن الله تعالى فرض
فرائض فلا تضيعوها، وحد حدودا فلا تعتدوها، وحرم أشياء فلا تنتهكوها وسكت عن
أشياء رحمة لكم غير نسيان، فلا تبحثوا عنها )) حدیث حسن رواه الدارقطني وغيره.

Hadis ini hadis hasan diriwayatkan oleh al-lmam al-Daraqutnie dan lain-lain (Hadis ini walaupun hadis yang mempunyai ‘illah (iaitu hadis yang mempunyai ‘illah iaitu sebab yang tersembunyi lagi mencacatkan nilai hadis dengan terkumpul dua syarat (1) wujud kekelabuan dan ketersembunyian (2) ada kecacatan. Hukum hadis mu’allal ini ialah dha’if. Lihat Taisir Mustalah Hadis, Dr. Mahmud al-Thahhan) namun di sana masih banyak riwayat-riwayat lain yang memperkuatkan hadis ini. Al-Bazar telah meriwayatkan dalam sanadnya, begitu juga al-Hakim meriwayatkan riwayat seumpamanya daripada Abu Darda’ . Al-Bazar berkata: “Isnadnya bagus, al-Tarmizi telah meriwayatkan hadis seumpamanya daripada Abu ‘Uthman al-Nahdie daripada Sulaiman, sebagaimana ia juga diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Lihat notakaki buku (Syarah Hadis 40 Nawawi) karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al- Turath al-Islamie, Kaherah,1987 pada takhrij hadis ini).

Daripada Abu Tha'labah al-Khusyanie Jurthum ibn Nasyer r.a. daripada Rasulullah SAW telah
bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa fardhu maka janganlah kamu menghilangkannya (iaitu janganlah kamu mempersia-siakannya dan meninggalkannya), Dia telah menentukan beberapa batasan, maka janganlah kamu melampauinya, Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencabulinya dan Dia tidak menyatakan hukum tentang beberapa perkara, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya.

Pengajaran hadis:

(1) Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi titah perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu mahupun larangan haram. Hadis tersebut mengingatkan setiap mukmin agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

(2) Demikian pula Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

(3) Di samping itu, Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat buat umat manusia demi memberi kemudahan bagi manusia. Hukum perkara yang ditinggalkan hukum halal haramnya adalah harus, iaitu boleh dilakukan.

Artikel Berkaitan



0 Teguran:

Post a Comment

 
© Hak Cipta Terpelihara 2011 [:: AlmansuQie ::]
Template : AlmansuQie~GreenBlue
Designed By : AlmansuQie™

Paparan Lebih Kemas Dengan Firefox